Sejarah



Sejarah penubuhan pusat pentadbiran pelajaran daerah bermula pada sekitar tahun 60an. Pejabat Pengelola Sekolah-Sekolah Kebangsaan mula beroperasi pada awal 1960 yang ketika itu merupakan satu-satunya pusat pentadbiran terhadap sekolah-sekolah kebangsaan. Pada masa itu ada di antara Pejabat Pengelola Sekolah Daerah melangkaui beberapa daerah pentadbiran.

Ketika itu, jawatan pegawai pelajaran selaku Ketua Pentadbir Pelajaran Daerah disebut Pegawai Pengelola Sekolah. Beliau dibantu oleh beberapa pegawai iaitu Penolong Pengelola.

Pada tahun 1982, berlaku penstrukturan semula pejabat pelajaran daerah. Pengstrukturan semula Pejabat Pelajaran Daerah Negeri Perak ketika itu melibatkan perubahan jawatan - jawatan. Pejabat Pelajaran Daerah diketuai oleh Pegawai Pendidikan Daerah dibantu oleh seorang Penolong Pegawai Pendidikan (Menengah) dan seorang Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Rendah) serta dua orang Penyelia (Menengah dan Rendah).

Pada tahun 1995, sekali lagi berlaku pengstrukturan semula Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) / Pejabat Pendidikan Bahagian (PPB). Tiga unit diwujudkan untuk membantu dan melicinkan jentera pentadbiran, iaitu Unit Pengurusan Sekolah, Unit Pengurusan Akademik serta Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan dan Khidmat Sokongan. Ekoran daripada itu Pegawai Pendidikan Daerah dibantu oleh tiga orang Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah mengikut unit pengurusan berkenaan. Jawatan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Rendah) dikekalkan.

Merujuk kepada Pekeliling KP(PP)0051 Jld.10(66) bertarikh 23 Jun 2003 yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia semua PPD / Bahagian seluruh negara distruktur semula. Perubahan ini telah mewujudkan tiga gred PPD / PPB iaitu Gred A, Gred B dan Gred C.

Sejarah Penubuhan PPD Batang Padang
Seiring dengan tindakan kerajaan menjalankan reformasi pendidikan di negara ini, struktur organisasi pentadbiran pendidikan juga turut berubah. Pada 1 JUN, 1982 diwujudkan Pejabat Pendidikan Daerah/Pejabat Pendidikan Daerah Bahagian di seluruh negara.
Di negeri Perak penyusunan Pejabat Pendidikan Daerah mengikut daerah-daerah yang sedia ada. Sebanyak 9 buah Pejabat Pendidikan Daerah ditubuhkan di negeri Perak. Semua sekolah dalam sesuatu daerah berkenaan dikelola dan diselia oleh Pejabat Pendidikan Daerah. Sebagai sebuah daerah yang paling utara di Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang terletak di Tapah (Pusat Pentadbiran Daerah). Pejabat ini ditempat di rumah Guru( sekarang Pusat Kecemerlangn Sukan).
Pada peringkat awal penubuhan, pejabat ini mempunyai 6 orang pegawai dan 5 orang kaki tangan sokongan. Kesan dari penubuhan dan tanggungjawab yang bertambah dari masa ke semasa jumlah pegawai dan kaki tangan di pejabat ini telah bertambah kepada 16 orang pegawai dan 7 orang kaki tangan sokongan. Bangunan Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang telah diubah suai beberapa kali untuk memenuhi tuntutan semasa dan keperluan pengisian pegawai-pegawai di pejabat ini.

Bekas Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang

Nama Mula Tamat
1. En. Rozali Bin Nordin 1982 1984
2. Hj. Sabri Bin Hj. Ngah Habsah 1984 1985
3. Hj. Ahmad Bin Hj. Shafii 1985 1989
4. En. Khalil Shah Bin Jamaluddin 1989 1991
5. Hj. Asmawi Bin Hj. Abdul Kadir 1993 1998
6. Hj. Yahya Bin Salim 1998 1999
7. Hj. Saleh Bin Razali 1999 2001
8. Hj. Ibrahim Bin Ahmad 2001 2004
9. Hj. Sulaiman Bin Samson 2004 2005
10. En. Said Bin Manap 2005 16.08.2005
11. En. Abd. Ghani Bin mohamad Niza 16.08.2005 01.07.2006
12. Pn. Hjh. Aina Binti Md. Dom 01.07.2006 23.09.2007
13. Hj. Razali Bin Ismail, AMN 16.01.2008 16.03.2008
14. Mahadi Bin Hj. Sidek 01.08.2008 25.11.2008
15. Hj. Mat Noh Bin Supaat 05.01.2009 sekarang

Kini, Pejabat Pelajaran Daerah Batang Padang ditempatkan dibangunan SMK Tapah. Semua kelengkapan dan infrastuktur diubahsuai bagi menempatkan 35 pegawai dan perlatan-peralatan terkini. Daerah Batang Padang kini telah mempunyai 117 buah sekolah.